31-qfUTFYUBDTugSwu3CdzzLxKY ‘Saya cuba halang ibu’ | kongsi serve you
Tuesday, 16 August 2011

‘Saya cuba halang ibu’

0 comments
 
BACHOK: “Saya sudah halang ibu pergi, malah saya sudah kunci pintu rumah kerana tidak mahu ibu keluar ikut ayah.
“Sepatutnya saya pergi bersama ayah, tetapi disebabkan mahu memperbaharui lesen, saya tidak dapat temankan ayah, tetapi ibu yang pergi,” kata Mohd Ridzuan Mohammad Zul, 24, anak sulung daripada tiga beradik kepada pasangan Mohammad Zu Yusoff, 47, dan Kamariah Ibrahim, 43, yang terbunuh selepas treler dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 106, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kuala Krai, kelmarin.

Semalam, akhbar melaporkan, kemalangan kira-kira jam 11.20 pagi itu berlaku apabila treler dipandu Mohammad Zu yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu merempuh sebuah lagi treler yang berhenti di bahu jalan. Turut maut, kelindan treler, Nik Mohd Shahrizan Yaacob, 32.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdul Rahman Ja’apar dipetik sebagai berkata, ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Katanya mayat ketiga-tiga mangsa yang beralamat di Kampung Tanjong, Jalan Tawang, Bachok dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ridzuan berkata, tanpa pengetahuannya, ibunya meminta isterinya, Siti Munirah Adnan Fahmy, 24, menghantarnya ke Kampung Juluk sebelum menahan treler dipandu bapanya.

“Ayah keluar kira-kira jam 3 petang Rabu lalu untuk memandu treler ke Kuala Lumpur. Walaupun sebelum ini ibu selalu ikut ayah, ketika Ramadan ini, saya tidak benarkan kerana mahu dia menghabiskan masa bersama isteri dan anak saya serta bersama-sama menyediakan makanan ketika berbuka dan bersahur.
“Saya juga bimbang ibu tidak larat menemani ayah kerana berpuasa. Bagaimanapun, ibu keluar juga dan meminta bantuan isteri menghantarnya sebelum menahan tereler dipandu ayah menyebabkan ayah terkejut, namun tetap membawanya bersama,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Tanjong Takang, Tawang di sini, malam kelmarin.

Menurut Ridzuan, kesungguhan ibunya mengikuti ayah berakhir dengan tragedi apabila maut dalam kemalangan.

Siti Munirah berkata, ibu mentuanya sempat berpesan kepadanya supaya suaminya menjaganya, anak dan adiknya.

Sebelum bertolak, ibu mentua meminta saya beritahu suami supaya menjaga saya, anak dan adiknya dengan baik. Tak sangka itu pesanan terakhirnya.

“Ibu mentua baik dan peramah, namun beberapa hari sebelum kejadian dia tidak banyak bercakap, tetapi kami sempat berbincang untuk menukar langsir baru sempena Aidilfitri,” katanya.

Selain Mohd Ridzuan, arwah turut meninggalkan dua anak perempuan, iaitu Siti Mariam Mohammad Zul, 22, penuntut Kolej Poly-Tech Mara, Pengkalan Chepa dan Siti Marini Mohammad Zul, 19, pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Long Yunus. Jenazah pasangan suami isteri itu yang dikebumikan dalam satu liang lahad dan Nik Mohd Shahrizan selamat dikebumikan kira-kira jam 2 pagi di Tanah Perkuburan Tanjong Takang, di sini, semalam, dengan disaksikan kira-kira 200 penduduk dan saudara-mara.

sumber:http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2011081500200720110815002007/Article

Leave a Reply